Saturday, October 5, 2013

Kelebihan belajar kesantunan bahasa

Kami , Shalini Naidu a/p Vadivelu dan Prashantini a/p Nagalingam bersuka cita menyatakan bahawa kami berjaya mengukirkan satu blog yang penuh dengan ilmu Kesantunan Bahasa. Kami harap blog ini akan membantu generasi Y yang bakal memerintah tampuk pemerintahan serta menjadi tulang belakang negara kita untuk menjadi seorang insan yang berguna dengan menerapkan norma-norma hidup yang mulia. Pensyarah kami En. Abdul Latib bin Abd Rahman telah menjadi mentor kepada kami dalam mengajar subjek kesantunan Bahasa dan beliau juga telah banyak mendorong kami untuk menjadi seorang insan yang berbudi bahasa.
 Selain itu, kami dapat banyak pengalaman setelah kami belajar kesantunan bahasa. Subjek ini mengajar kami cara menjadi seorang insan yang berbudi bahasa. Kami juga belajar tentang cara menghormati orang tua mahupun muda, cara membalas jasa orang tua,dan juga cara menjaga ibu bapa kami yang telah mengorbankan hidup mereka hanya untuk kami. Kami juga sedar bahawa syurga berada di tapak kaki ibu yang bermaksud kegembiraan kita akan sentiasa kekal jika seorang anak itu menjaga ibunya dengan penuh kasih sayang hingga ke akhir hayatnya.
          Di samping itu, kami juga balajar tentang cara menghormati dan mengekalkan adat resam semua kaum. Secara tidak langsung kami dapat belajar adat resam dan budaya kaum lain. Tamsilnya, cara perkahwinan, pemakaian,pantang larang dan sebagainya. Hal ini juga menarik minat kami untuk mengetahui lebih lanjut tentang budaya lain. Dengan ini, kami dapat mengenal kaum lain dengan lebih mendalam serta ia juga akan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat Malaysia.
          Seterusnya,setelah kami belajar subjek ini kami telah dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam hidup kami. Contohnya, nilai kerajinan, tanggungjawab,hemah tinggi,harga diri,keadilan, kepercayaan kepada tuhan, budi bahasa, dan juga kesantunan. Nilai –nilai murni inilah yang mendorong kami untuk manjadi seorang insan yang berakhlak mulia. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa subjek kasantunan bahasa ini merupakan senjata yang ampuh bagi melahirkan seorang anak muda yang berwawasan.
          Akhir sekali, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pensyarah kami En. Abdul Latib bin Abd Rahman  kerana beliau sentiasa mendorong kami ke arah yang baik serta menjadi suri teladan kepada kami dalam menyelesaikan kerja khusus ini dan kami berasa bertuah dan bangga kerana dapat belajar subjek kesantunan ini. Bagi seseorang guru itu kasantunan amat penting dalam kehidupan seharian mereka kerana setiap pasti akan jejak langkah gurunya.oleh itu, sebagai bakal guru, kami pasti mengamalkan segala ilmu yang diajar oleh pensyarah kami untuk melahirkan anak watan Malaysia yang kamil lagi soleh.


Sekian,  Terima Kasih.   

REMAJA BERWAWASAN

Remaja pada masa ini merupakan angkatan muda yang akan menjadi tonggak pemerintahan pada masa hadapan. Bijak pandai ada berkata, sekiranya kita hendak melihat kepimpinan masa hadapan, lihatlah remaja yang ada pada masa ini. Lantaran itu, dalam menempuh milenium yang sarat dengan cabaran reformasi ini,  ciri-ciri remaja yang kamil dan mempunyai nilai keinsanan yang syumul penting untuk membangunkan negara. Dalam hal ini, semua pihak berperanan bagi melahirkan remaja yang mempunyai  ciri-ciri remaja yang berwawasan.
            Berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan. Hal ini demikian kerana akhlak yang luhur, datang dari hati yang bersih. Remaja yang berakhlak mulia akan suka didampingi malah akan meraih rasa hormat daripada orang sekeliling. Remaja yang berakhlak mulia pasti tidak akan terjebak dengan kemelut sosial yang mementingkan dunia hedonistik semata-mata serta berusaha untuk menghindarkan diri daripada bergaul dengan remaja-remaja yang bermasalah. Taat pada agama sudah pasti dapat melahirkan individu yang berakhlak mulia kerana semua agama di dunia menyeru kepada kebaikan dan melarang kepada kemungkaran. Secara tidak langsung, remaja yang mempunyai sikap mahmudah dapat dilahirkan seterusnya dapat menjadi seorang insane yang kamil. Remaja yang berakhlak mulia juga sudah pasti dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk, yang mana kaca, yang mana permata, bak kata peribahasa yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Jelaslah bahawa berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan.
            Selain itu, remaja berwawasan sudah pasti mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dan tinggi. Remaja yang berwawasan pasti akan berusaha untuk mencari ilmu dan sentiasa dahagakan ilmu. Pepatah ada juga mengatakan ‘carilah ilmu sehingga ke negeri China’ kerana ilmu yang ada hanya setitik daripada selautan. Malahan, Albert Einstein juga pernah berkata ‘semakin banyak yang dipelajari, semakin banyak yang tidak diketahui’. Dengan melahirkan remaja yang berilmu pengetahuan, anak muda ini tidak akan mudah ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab serta akan sentiasa dihormati dan disanjung oleh masyarakat sekeliling. Jelaslah bahawa, remaja yang berilmu pengetahuan juga merupakan ciri yang vital dalam melahirkan remaja yang berwawasan.
            Di samping itu, remaja yang berwawasan juga akan sentiasa gigih untuk menggapai gamitan menara impian. Sudah tentulah budaya pesimistik dan culas dikikis serta dibuang jauh untuk mencapai kejayaan walau seruwet manapun yang diamalkan oleh remaja berwawasan ini. Secara langsung, remaja berwawasan akan gigih berusaha menggunakan setiap detik dan waktu agar diisi dengan perkara yang bermanfaat  dan berfaedah kerana masa itu emas. Selain itu, masa yang pergi tidak mungkin akan kembali. Oleh itu, remaja yang berwawasan akan memastikan setiap masa yang terluang diisi dengan perkara yang mendatangkan maslahat seperti menelaah buku, beriadah atau melakukan ibadah kerana cendekiawan ada mengatakan masa ibarat pedang,sekiranya kita leka mata pedang itu akan  memenggal kita. Jelaslah bahawa, gigih berusaha merupakan ciri yang signifikan dalam melahirkan remaja yang berwawasan.
            Sementelahan itu, bersemangat patriotik juga merupakan ciri remaja berwawasan. Remaja yang berwawasan akan berusaha menjaga nama baik negara serta memerah keringat untuk menaikkan nama negara. Remaja yang berwawasan juga akan mengekalkan perpaduan negara yang sudah sedia terjalin ukhuwah sesama manusia mahupun berlainan bangsa dan agama demi menyahut seruan ‘Satu Malaysia’ yang diuar-uarkan oleh Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak. Terbuktilah bahawa, remaja yang berwawasan akan mempunyai semangat patriotik yang tinggi.
            Tuntasnya, semua pihak haruslah bergabung tenaga melahirkan remaja yang berwawasan agar Malaysia akan terus maju dan terkenal di seluruh pojok dunia pada masa hadapan.



AMALAN BERBUDI BAHASA



Anak itik matinya lemas,
Makan lenggudi di Bukit Askin,
  Hilanglah bahasa kerana emas,
  Tak tampak budi kerana miskin.

Saya tidak menanam nenas,
Tanam kepaya di dalam padi,
Saya tidak memandang emas,
Budi bahasa yang saya cari.

Perigi dikatakan telaga,
Tempat budak berulang mandi,
  Emas merah ada berharga,
  Budi Bahasa bernilai abadi.

Pucuk nipah kelibatan,
 Terletak mari di tepi pantai,
  Biarlah rosak dalam lipatan
 Jangan rosak kena pakai.

Perabu lancang dari Petani,
Naik ke darat membeli kain,
Buah macang serupa kuini,
Rupanya sama rasanya lain.

Petikan pantun diatas jelas menunjukkan kepentingan berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat. Marcapada ini, masalah gejala sosial dalam kalangan remaja semakin hebat diperkatakan di media massa seperti televisyen dan akhbar. Hal ini jelas menggambarkan amalan berbudi bahasa dalam masyarakat kita semakin luntur. Walaupun kerajaan telah melancarkan pelbagai program dan kempen kesedaran seperti Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni yang dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada 11 Januari 2005 yang lalu ,namun perkara ini dilihat masih gagal untuk membina budi bahasa dan jati diri masyarakat yang kian terhakis dalam arus pascamodenisasi. Persoalannya siapakah yang bertanggungjawab dalam memupuk amalan berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat khususnya golongan belia?Ibu bapa merupakan dua individu yang memainkan peranan penting dalam mempelopori sikap berbudi bahasa yang di uar-uarkan oleh kerajaan. Ia amat perlu dipraktikkan seumur bayi di dalam buaian. Bagi memastikan keadaan ini berkekalan, ibu bapa hendaklah sentiasa memantau perkembangan anak-anak disamping menerapkan nilai-nilai murni sebagai asas tunggak budaya kita. Sebagai misalan, ibu bapa boleh menceritakan kepada anak-anak mereka tentang kehebatan perjuangan tokoh- tokoh Islam di masa lalu yang taat dalam melaksanakan ajaran agama dan budaya mereka yang memberi faedah serta berjiwa terbuka terhadap kritikan supaya menjadi perangsang kepada mereka untuk dicontohi. Seterusnya para ibu hendaklah sentiasa peka dan mengawasi anak-anak daripada membaca buku, majalah-majalah atau menonton filem-filem yang kurang sihat kerana ini boleh mempengaruhi jiwa dan mengakibatkan gejala yang tidak baik terhadap perkembangan peribadi anak-anak.Kehidupan di bandar banyak mempengaruhi jiwa anak-anak terutama remaja yang sedang membesar. Semua aspek perlu diketahui dan diambil kira untuk dijadikan sebagai kayu ukur dalam mengharungi kehidupan yang mencabar ini. Oleh itu, dengan berbekalkan budi bahasalah maka remaja masa kini dapat melangkah setapak ke hadapan dengan penuh keyakinan. Budi bahasa yang dipamerkan dengan baik dapat membantu remaja memperolehi sesuatu dengan jayanya. Disamping itu, remaja akan disanjung tinggi kerana budi pekertinya itu dan akan disegani oleh segala lapisan masyarakat. Bertitik tolak dari rumah hingga ke menara gading amalan berbudi bahasa membawa berkat dan dapat membina kerjaya yang cemerlang. Sebagai contoh, fenomena yang melanda negara sekarang adalah fenomena hedonisme yang sangat menarik perhatian remaja. Hal ini berkaitan dengan seorang artis muda yang mempunyai aura yang luar biasa iaitu Asmawi bin Ani. Jika dilihat pengaruhnya adalah sesuatu yang menakjubkan. Beliau bukan sahaja diminati oleh para gadis dan peringkat dewasa malahan kanak-kanak juga turut meminatinya sehinggalah ke peringkat menteri. Mengapa hal ini boleh terjadi? Kita kupas semula kehidupannya. Beliau seorang yang cukup sederhana dalam segala hal tetapi akibat didikan yang sempurna dan penuh dengan budi bahasa yang tinggi serta berbekalkan ilmu agama yang cukup membolehkan beliau menjalani hidup dengan lebih matang lagi. Beliau disanjungi dan disayangi kerana baik budi pekertinya sehingga dapat memenangi hati banyak pihak yang telah lama dahagakan sifat sebegitu yang sepatutnya ada pada setiap masyarakat. Kepentingan amalan budi bahasa perlu disemai sejak kecil lagi kerana kanak-kanak lebih mudah dididik kerana kanak-kanak baru mula mengenal dunia dan masih hijau dalam menilai kehidupan. Pepatah ada mengatakan, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Maka mendidik anak itu biarlah dari kecil supaya tidak menyesal dikemudian hari dan menghindari dari segala gejala buruk serta musibah yang tidak diketahui wujudnya. Seperti kata pepatah melayu ’malang tidak berbau’.
Sesungguhnya, kehidupan akan lebih bermakna dengan memiliki pekerti yang baik, seperti kata bidalan, ‘benih kalau baik walau tercampak ke lautan pasti akan menjadi pulau’. Didiklah anak-anak dengan budi bahasa yang baik supaya menjadi ikutan dan pahatkan di hati mereka nilai-nilai ketimuran supaya kelak mereka mampu menggalas tanggungjawab membina kemajuan negara seterusnya menjadi perintis kepada wawasan 2020.



45 Nilai-nilai Murni Untuk Amalan Rakyat Malaysia
Kepercayaan kepada Tuhan
Kesetiaan kepada Negara dan Pemerintah
Keikhlasan diri
Hormat menghormati
Kasih sayang
Semangat kemasyarakatan
Berpengetahuan
Kebersihan Fizikal dan Mental
Bersih
Semangat kejiranan
Semangat kerjasama
Kesederhanaan
Kesyukuran dan Keredhaan
Berdaya saing
Menghargai masa
Semangat hidup
Bermasyarakat
Menghulur dan Menerima Kemaafan
Disiplin diri
Bertanggungjawab
Amanah
Adil
Tolong menolong
Prihatin
Sabar
Bertimbang rasa
Toleransi
Bersimpati
Merendah diri
Bersungguh-sungguh
Menghormati hak setiap individu
Menyayangi Diri, Keluarga, Jiran dan Masyarakat
Suci hati
Berfikiran positif
Amalan baik
Sedia Berkorban untuk kebaikan bersama
Berkongsi untung nasib
Benar
Berani
Berterus terang
Bercita-cita tinggi
Ikhlas
Berlemah lembut
Berpada
Yakin diri

VIDEO !

Kami telah menyertakan beberapa klip video untuk tontonan anda semua yang berkaitan tentang aspek kesantunan dan juga tentang adat pelbagai kaum di Malaysia. SELAMAT MENONTON !!! 

Friday, October 4, 2013

Masalah Sosial : Gejalah Mat Rempit

Mat Rempit’ merupakan istilah baru yang muncul dalam diari kehidupan anak-anak muda.‘Mat Rempit merujuk  kepada gelagat atau perilaku anak muda yang terlibat dalam kegiatan lumba motosikal haram. Isu Mat Rempit dan kerenah buruk mereka sering kali dipaparkan dalam media negara. Kes yang melibatkan Mat Rempit  sering menghias dada akhbar telah memeningkan masyarakat termasuk pihak polis. Mereka tidak pernah serik ditahan polis,dijatuhkan hukuman oleh mahkamah atau melihat rakan ‘seperjuangan’ maut di depan mereka. Mereka terus menjadi raja di jalan raya dan terus angkuh memperlihatkan aksi akrobatik seperti dirasuk syaitan. Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, budaya kumpulan motosikal ‘Hell-Angel’ itu ditiru secara tidak langsung oleh Mat Rempit sehingga mereka turut terjerumus dalam kegiatan jenayah. Statistik polis pula menunjukkan bahawa majoriti golongan berani mati ini terdiri daripada remaja yang masih bersekolah hinggalah remaja berusia 20-an yang bakal merajui Negara. .Masyarakat kita haruslah sama-sama berganding bahu mengenal pasti punca-punca gejala Mat Rempit dan mencari langkah-langkah yang sewajarnya untuk meminimumkan masalah ini.

   Memang tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh media massa merupakan punca dominan kepada masalah Mat Rempit yang semakin berleluasa pada masa kini. Pengaruh budaya luar yang diserap ke dalam media massa telah meracuni fikiran belia. Perbuatan tidak bermoral Mat Rempit seperti penagihan dadah, seks bebas, pengambilan alkohol. Jenayah ragut, dan sebagainya sebenarnya meniru budaya ‘Hell-Angel’ dari Amerika Syarikat. Budaya tersebut telah disanjungi oleh remaja kerana menganggap ilusi ‘cool’ mereka sebagai aktiviti menyeronok. Selain itu, filem-filem yang mengandungi unsur-unsur perlumbaan juga terus mempengaruhi minda remaja. Contohnya, filem-filem seperti ‘Tokyo Drift’, Fast And The Furious’, ‘Initial-D’, dan ‘Kuala Lumpur Menjerit’ telah mendorong golongan remaja mempelajari aksi-aski pelakon yang dianggap bergaya dalam filem-filem tersebut. Golongan Mat Rempit yang dipengaruhi oleh media massa pula ghairah mengubahsuaikan motosikal mereka seperti yang ditunjukkan dalam filem sehingga mengabaikan ciri-ciri keselamatan.
   Sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kelakuan  anak mereka juga mengakibatkan gejala Mat Rempit. Pada masa kini, sikap ibu bapa yang mementingkan aspek materialistik telah menyebabkan mereka begitu fanatik untuk mencari wang demi meningkatkan kehidupan mereka. Akibatnya, mereka telah mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa untuk mendidik anak mereka. Mereka tidak mengambl berat tentang keselamatan anak mereka dan membiarkan anak mereka menunggang motosikal tanpa berlesen. Situasi ini amat berbahaya kerana anak mereka yang tanpa lesen tidak mengetahui keselamatan dan kemungkinan besar terlibat dalam perlumbaan haram. Selain itu, mereka juga akan merayau-rayau di jalan raya. Mat rempit ini juga ibarat kutu rayau yang suka merayau  dan mengganggu ketenteraman pada waktu malam. Di samping itu, sesetengah ibu bapa terlalu liberal terhadap sosial dan tidak pernah menegur tingkah laku anak mereka sudah tentu memburukkan keadaan ini. Sekiranya ibu bapa tidak berupaya memberi tunjuk ajar yang betul, sudah tentu jati diri anak yang dibentuk jauh rapuh. Sikap ibu bapa inilah ibarat ketam menyuruh anaknya berjalan lurus. 

   Isu Mat Rempit yang semakin berleluasa juga disebabkan oleh kelonggaran penguatkuasaan undang-undang. Contohnya, usaha polis trafik yang mengadakan sekatan jalan raya dan mengawasi pengerakan Mat Rempit seolah-olah diperlekehkan oleh golongan Mat Rempit. Hal ini menyebabkan mereka semakin mendabik dada untuk mencabar kewibawaan undang-undang. Mereka yang bijak melarikan diri daripada pengawasan pihak berkuasa  dan akan cuba beberapa kali untuk berlumba di atas jalan raya. Mereka tidak berasa jemu masuk ke lokap apabila ditangkap kerana mereka berupaya membayar kompaun atau saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Mereka akan memberanikan diri untuk menperjudikan nyawa diri di atas jalan raya semata-mata untuk keseronokan. Menurut statistik yang dikeluarkan, gejala Mat Rempit bukan sahaja tertumpu di Kuala Lumpur tetapi telah merebak hampir kesemua negeri di Malaysia. Suasana hening malam minggu juga bertukar menjadi bingit dan bising dengan deruman motosikal.

   Bagi membendung masalah Mat Rempit ini daripada terus berleluasa, langkah-langkah inisiatif haruslah diambil dengan secepat mungkin. Undang-undang yang lebih ketat dan sistematik dan haruslah dikuatkuasakan. Pihak polis haruslah meningkatkan langkah pnguatkuasaan dan tidak berkompromi dengan golongan ini serta mengelakkan daripada amalan mengambil rasuah semasa mengambil tindakan terhadap mereka. Contohnya, polis trafik telah mengarahkan 5000 pengawai dan anggota menjalankan operasi secara besar-besaran untuk menangani masalah Mat Rempit bagi memastikan mereka tidak menggugat ketenteramam awam menjelang Tahun Melawat Malaysia 2007. Cadangan untuk merampas motosikal dan menggantung lesen mereka yang terlibat dalam dalam gejala lumba haram juga terlihat sebagai satu prakasa yang dapat menangani masalah ini. Secara tidak langsung, langkah ini juga akan memberi isyarat yang nyata bahawa kerajaan memandang serius terhadap gejala Mat Rempit ini.

   Sikap ibu bapa yang seharusnya prihatin terhadap kegiatan anak mereka juga dapat mengurangkan gejala Mat Rempit. Ibu bapa haruslah meluangkan lebih banyak masa untuk mendidik anak-anak mereka. Mereka juga harus dijadikan sebagai teladan yang baik terhadap anak-anak mereka supaya amalan-amalan bermoral dapat dicontohi oleh anak-anak mereka. Hal ini menggambarkan ‘bagaimana acuan, begitulah kuihnya’ telah menunjukkan betapa pentingnya pengaruh ibu bapa terhadap anak-anak. Ibu bapa juga harus mementingkan kebajikan anak mereka tetapi bukan kelihatan liberal tentang sosial. Sikap begini secara tidak langsung dapat membantu dalam mengurangkan kes-kes yang membabitkan Mat Rempit. Sebagaimana gejala sosial yang lain, peranan yang dimainkan oleh ibu bapa amat penting untuk menjayakan sebarang usaha menangani masalah tersebut. Mereka harus bersikap positif dan aktif dalam bekerjasama dengan pihak masyarakat supaya dapat membendung masalah ini. Sikap ibu bapa yang tidak endah terhadap apa-apa yang berlaku di sekeliling mereka juga harus dielakkan. Hal ini dapat menjamin supaya gejala Mat Rempit dapat diatasi dengan mujarab.

   Kesimpulannya, masalah Mat Rempit haruslah dikekang secara bersepadu melalui kerjasama daripada pihak ibu bapa, masyarakat dan kerajaan. Bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Sikap berganding bahu dan menggembleng kudrat antara pihak-pihak tertentu amat penting untuk meminimumkan gejala ini. Hal ini disebabkan Mat Rempit terdiri daripada golongan remaja belia yang bakal menerajui kepimpinan sesebuah negara. Mereka ini merupakan modal insan yang sangat berharga sekiranya didekati, dibimbing, dipupuk dengan nilai, dan akhlak yang mulia. Mereka perlu disemai dengan ciri-ciri berhemah tinggi, bertanggungjawab, cinta akan negara dan bangsa. Kemungkinan dengan usaha tanpa henti daripada semua pihak, deruman enjin motosikal dan aksi gila Mat Rempit tidak akan kedengaran lagi pada suatu hari nanti. Oleh itu, isu Mat Rempit perlu diambil berat dan diminimumkan dengan segera agar masalah ini tidak menjadi duri dalam daging ya



ng akan membobrok pembangunan sesebuah Negara. 


Masalah Sosial : Budaya Melepak

Dalam masyarakat kini, masalah sosial semakin tambah dan dipaparkan melalui media masa. masalan sosial ini kebanyakan datang dari kalangan remaja.Budaya melepak merupakan masalah sosial yang paling banyak ditayangkan.Kita dapat saksikan bahawa kalangan remaja sering berjalan-jalan di kompleks beli-belah atau duduk-duduk di tembok jalan dengan tanpa hala tujuan. Malah, sesetengah kalangan remaja sering mengusik gadis-gadis yang lalu-lalang di tepi jalan dengan berbahasa kerang sopan, atau berbual-bual kosong dan membuat bising tanpa hala tujuan. Masalah ini akan diwujudkan kebanyakan adalah disebabkan oleh hal-hal keluarga. Ahli keluarga mereka sering bergaduh ataupun adanya yang ibu bapa bercerai. Mereka melepak di luar bersama kawannya tujuannya adalah untuk mendapatkan hiburan ataupun melepaskan geram ataupun tekanan mereka. Sesetengah pula merokok bersama kawan-kawan mereka.
Selain itu, budaya buli juga sering berlaku dalam sekolah. Sejak-sejak ini, kita pun tahu bahawa dalam sesebuah sekolah, seorang remaja lelaki telah dipukul oleh sekumpulan remaja lelaki. Pihak sekolah tersebut juga tidak mengambil tindakan terhadap kumpulan remaja lelaki tersebut disebabkan remaja kini semakin biadap dan liar.Golongan remaja akan bertindak begitu kebanyakan dipengaruhi oleh media masa.Kebanyakan filem keganasan ditayangkan dalam pawangan wayang. Jenis filem ini amat disukai oleh remaja-remaja masa kini terutamanya remaja lelaki. Jadi, mereka akan belajar tindakan yang dipaparkan dalam wayang tersebut.
Bukan itu sahaja, remaja juga sering mengamalkan amalan lari dari rumah. Hal ini dapat diyaksikan melalui surat khabar. Remaja yang lari dari rumah kebanyakannya adalah lari bersama teman lelakinya. Remaja-remaja selalu berkawan dengan orang yang tidak berkenaan. Hubungan mereka juga berkembang dengan cepat sehingga menjadi teman lelaki dan teman wanita. Hal ini akan terjadi disebabkan pengawasan yang tidak ketat di sekolah. Kebanyakan remaja suka bertemu dengan teman lelaki atau teman wanita di depan pintu sekolah tanpa kesedaran ibu bapa. Oleh itu, mereka senang ditipu dan dipujuk oleh orang luar dengan kata manis.
Ada juga remaja-remaja yang selalu ponteng sekolah. Mereka ponteng sekolah tujuan utamanya adalah berkunjung ke kafe internet. Mereka terjerumus dengan laman web permainan di kafe internet. Mereka boleh menghabiskan masa mereka dengan perkara yang tidak berfaedah di kafe internet. Hal ini akan terjadi disebabkan kawalan sosial yang longgar.Para ibu bapa lebih menumpukan masa dan tenaga untuk mencari mata pencarian di luar rumah, secara tidak langsung telah menimbulkan rasa bosan dan kesunyian di hati anak-anak. Lantas, anak-anak mudah mengikut ajakan rakan-rakan untuk berhibur dalam laman web.
Tambahan pula, yang lebih seriusnya adalah kegiatan lumba haram. Mereka berlumba motosikal di tempat yang tertentu bersama kawan-kawan yang dalam kumpulan yang besar. Mereka telah membahayakan nyawa mereka dalam lumba haram tersebut. Mereka akan berbuat demikian kebanyakan adalah mereka tidak puas hati terhadap keluarga mereka atau masalah yang dihadapi oleh mereka. Mereka telah memilih cara begini untuk melepaskan geram yang ada dalam hati mereka.
Untuk mengatasi masalah sosial yang tersisiar dalam masyarakat ini, pihak berkuasa haruslah menguatkankuasa untuk menangani masalah sosial tersebut. Tambah pula, pihak ibu bapa juga haruslah lebih mengambil berat terhadap anak-anak mereka. Bumi mana tidak ditimpa hujan. Jadi pihak ibu bapa haruslah mengubah sikap mereka yang dahulu.
Tuntasnya, saya berharap masalah sosial ini dapat diatasi selepas pelbagai pihak telah menjalankan kewajipan mereka.




Masalah Sosial : Gejalah Rasuah



Rasuah merupakan gejala yang sinonium dengan masyarakat kita pada hari ini. Definisi rasuah secara literalnya bermaksud sogokan atau secara konseptualnya bermaksud wang yang diberikan oleh orang tertentu kepada pihak lain untuk menyembunyikan sesuatu perkara atau untuk mendapatkan sesuatu denagn cara yang mudah dan cepat tetapi salah mengikut undang-undang negara. Gejala ini merupakan duri dalam daging dalam kalangan masyarakat kita. Syed Hussein al atas menyatakan bahawa rasuah sebagai penyalahgunaan kepercayaan untuk kepentingan peribadi. Menurut Transparency International, Indeks Persepsi Rasuah (CPI), malaysia berada pada tangga ke 47 daripada 180 buah negara pada tahun 2008 dan keadaan ini amat membimbangkan kerana gejala rasuah ini memberi kesan yang buruk kepada nama baik negara kita. Rasuah yang berleluasa juga mencemarkan integriti dan maruah malaysia sekaligus menimbulkan kesan negatif.

Gejala rasuah di malaysia berada pada tahap sederhana dan terkawal. Namun begitu, amalan rasuah masih berlaku dalam semua peringkat kehidupan manusia. Amalan rasuah juga merupakan penyakit masyarakat yang sukar diatasi kerana pengetahuan tentang keburukan gejala rasuah ini kurang diketahui oleh masyarakat pada hari ini. Walau bagaimanapun, masyarakat sekarang yang masih mengamalkan amalan rasuah ini harus sedar bahawa undang-undang negara kita tidak akan memandang enteng amalan rasuah ini kerana perkara ini merupakan amalan yang buruk yang boleh menggugat keamanan dan ketenteraman masyarakat setempat mahupun negara. Pihak mahkamah akan menjatuhkan hukuman yang berat kepada pembeeri dan penerima rasuah jika mereka ditangkap. Statistik terkini menunjukkan bahawa bilangan kes rasuah yang disiasat meningkat dua kali ganda, daripada 663 kes (2001) kepada 1317 (2006). Bilangan tangkapan juga meningkat dari 318 (2001) kepada 564 (2006). Jika amalan ini masih berterusan, ia dapat menggugat keutuhan masyarakat dan tidak mustahil suatu hari nanti negara kita akan tergadai.

Setiap perkara yang berlaku pasti ada puncanya seperti yang nyatakan dalam perumpamaan melayu, kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang. Salah satu puncanya ialah kurangnya didikan agama dan moral. Hal ini demikian kerana, pegangan agama yang kuat mampu membendung gejala ini dan setiap agama juga melarang penganutnya melakukan sesuatu yang boleh memudarkeluarga, masyarakat dan negara. Orang yang tidak mempunyai iman yang kuat senang terpengaruh dengan kebendaan dan sering mengejar kekayaan.  Mereka harus sedar bahawa setiap wang yang dibelanjakan hasil daripada rasuah merupakan wang haram dan tidak boleh digunakan untuk keperluan harian anak-anak. Hal ini demikian kerana, dalam agama Islam terutamanya, melarang keras penganutnya melakukan amalan ini dan jika mereka membeli makanan daripada wang hasil rasuah makanan itu haram diberikan kepada anak-anak untuk dimakan kerana makanan yang haram dapat menggelapkan hati manusia. Oleh itu, didikan agama amat penting dan merupakan asas untuk membendung segala masalah sosial seperti rasuah.

Setiap punca masalah ynag berlaku pasti ada jalan penyelasaiannya bak kata pepatah di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Jika kita ingin membendung gejala ini, pasti ada langkahnya. Ibu bapa dan guru perlu menanamkan nilai murni dalam jiwa setiap anak tentang keburukan rasuah. Hal ini demikian kerana, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa sendiri perlulah bersikap jujur kepada diri sendiri iaitu, ibu bapa sendiri perlulah menjauhi amalan rasuah kerana jika ibu bapa yang melakukan rasuah dan cuba untuk menasihati anak-anaknya untuk tidak melakukan perkara itu, nescaya anak itu tidak akan mendengar nasihat ibu bapanya. Hal ini disebabkan oleh ketidakcekapan ibu bapa untuk menanam atau memupuk nilai murni dalam diri anak-anak mereka. Pihak guru juga boleh berkongsi maklumat terkini tentang gejala rasuah ini kepada pelajar-pelajarnya sebagai pengetahuan juga sebagai teladan dalam kehidupan seharian. Dengan itu, kerjasama daripada pihak ibu bapa dan guru boleh melahirkan pelajar yang mempunyai nilai-nilai murni yang baik dan benci kepada amalan rasuah.

Kesungguhan daripada pihak kerajaan untuk membendung amalan ini juga amat penting. Kerajaan telah menggubal Pelan Integriti Nasional PIN. Pelan Integriti Nasional adalah satu pelan atau rancangan yang dirancangkan serta dilancarkan oleh kerajaan Malaysia  dengan fokus utamanya untuk menanam dan memupuk budaya etika dan integriti di kalangan semua lapisan masyarakat Malaysi. Institut Integriti Malaysia (IIM), ditubuhkan sebagai agensi penyelaras dan pemantau pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN). Objektif utama IIM ialah untuk membangunkan sebuah bangsa Malaysia yang berintegriti, berdaya tahan dan menghayati nilai-nilai murni sejagat.  Kedua dua in juga ditubuhkan bertujuan untuk memberikan kesedaran dan pendidikan tentang keburukan rasuah. Pada tahun 2008, Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah SPRM telah diluluskan di Dewan Rakyat dan ia bermaksud SPRM diberi kuasa penuh untuk menghapuskan rasuah. Oleh itu, rasuah merupakan penyakit yang perlu ditangani segera sebelum ia menjadi lebih serius.



 Tuntasnya, semua pihak tidak kira pangkat atau harta, mestilah bersatu dan menggembleng tenaga untuk memeastikan rasuah gejala yang berjangkit ini dapat diatasi. Mencegah itu lebih baik dari mengubati. Rasuah  juga terjadi disebabkan faktor dalaman dan luaran. Rasuah juga berlaku di mana-mana sahaja tanpa batas waktu dan tempat. Pihak berkuasa terutamanya perlu mengelakkan diri daripada terlibat dengan gejala ini kerana umum diketahui, ramai pihak berkuasa menerima rasuah dan tidak amanah melaksanaknan tugas dan tanggungjawab. Harapan saya agar amalan rasuah ini dapat dibanteras hingga ke akar umbi. Tindakan yang diambil hendaklah saksama dan bukan sekadar terhadap golongan “ikan bilis” tetapi juga terhadap golongan atasan. Mereka yang bersalah wajar dikenakan hukuman yang berat kerana telah mereka telah menconteng arang kepada negara kita.