Remaja pada masa ini merupakan angkatan muda yang akan menjadi tonggak pemerintahan pada
masa hadapan. Bijak pandai ada berkata, sekiranya kita hendak melihat
kepimpinan masa hadapan, lihatlah remaja yang ada pada masa ini. Lantaran itu,
dalam menempuh milenium yang sarat dengan cabaran reformasi ini,
ciri-ciri remaja yang kamil dan mempunyai nilai keinsanan yang syumul
penting untuk membangunkan negara. Dalam hal ini, semua pihak berperanan bagi
melahirkan remaja yang mempunyai ciri-ciri remaja yang berwawasan.
Berakhlak mulia merupakan salah
satu ciri remaja berwawasan. Hal ini demikian kerana akhlak yang luhur, datang
dari hati yang bersih. Remaja yang berakhlak mulia akan suka didampingi malah
akan meraih rasa hormat daripada orang sekeliling. Remaja yang berakhlak mulia
pasti tidak akan terjebak dengan kemelut sosial yang mementingkan dunia
hedonistik semata-mata serta berusaha untuk menghindarkan diri daripada bergaul
dengan remaja-remaja yang bermasalah. Taat pada agama sudah pasti dapat
melahirkan individu yang berakhlak mulia kerana semua agama di dunia menyeru
kepada kebaikan dan melarang kepada kemungkaran. Secara tidak langsung, remaja
yang mempunyai sikap mahmudah dapat dilahirkan seterusnya dapat menjadi seorang
insane yang kamil. Remaja yang berakhlak mulia juga sudah pasti dapat
membezakan antara yang baik dan yang buruk, yang mana kaca, yang mana permata,
bak kata peribahasa yang baik
dijadikan teladan,
yang buruk dijadikan sempadan. Jelaslah bahawa berakhlak mulia
merupakan salah satu ciri remaja berwawasan.
Selain itu, remaja berwawasan sudah pasti mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dan tinggi. Remaja yang berwawasan pasti akan berusaha untuk
mencari ilmu dan sentiasa dahagakan ilmu. Pepatah ada juga mengatakan ‘carilah
ilmu sehingga ke negeri China’ kerana ilmu yang ada hanya setitik daripada
selautan. Malahan, Albert Einstein juga pernah berkata ‘semakin banyak yang dipelajari, semakin
banyak yang tidak diketahui’. Dengan melahirkan remaja yang berilmu
pengetahuan, anak muda ini tidak akan mudah ditipu oleh pihak yang tidak
bertanggungjawab serta akan sentiasa dihormati dan disanjung oleh masyarakat
sekeliling. Jelaslah bahawa, remaja yang berilmu pengetahuan juga merupakan
ciri yang vital dalam melahirkan remaja yang berwawasan.
Di samping itu, remaja yang berwawasan juga akan sentiasa gigih untuk menggapai gamitan menara impian. Sudah
tentulah budaya pesimistik dan culas dikikis serta dibuang jauh untuk mencapai
kejayaan walau seruwet manapun yang diamalkan oleh remaja berwawasan ini.
Secara langsung, remaja berwawasan akan gigih berusaha menggunakan setiap detik
dan waktu agar diisi dengan perkara yang bermanfaat dan berfaedah kerana
masa itu emas. Selain itu, masa yang pergi tidak mungkin akan kembali. Oleh
itu, remaja yang berwawasan akan memastikan setiap masa yang terluang diisi
dengan perkara yang mendatangkan maslahat seperti menelaah buku, beriadah atau
melakukan ibadah kerana cendekiawan ada mengatakan masa ibarat pedang,sekiranya kita leka mata pedang itu akan memenggal
kita. Jelaslah bahawa, gigih berusaha merupakan ciri yang signifikan
dalam melahirkan remaja yang berwawasan.
Sementelahan itu, bersemangat
patriotik juga merupakan ciri remaja berwawasan. Remaja yang
berwawasan akan berusaha menjaga nama baik negara serta memerah keringat untuk
menaikkan nama negara. Remaja yang berwawasan juga akan mengekalkan perpaduan
negara yang sudah sedia terjalin ukhuwah sesama manusia mahupun berlainan bangsa
dan agama demi menyahut seruan ‘Satu Malaysia’ yang diuar-uarkan oleh Dato’
Seri Najib bin Tun Abdul Razak. Terbuktilah bahawa, remaja yang berwawasan akan
mempunyai semangat patriotik yang tinggi.
Tuntasnya, semua pihak haruslah bergabung tenaga melahirkan remaja yang
berwawasan agar Malaysia akan terus maju dan terkenal di seluruh pojok dunia
pada masa hadapan.
No comments:
Post a Comment