Saturday, October 5, 2013

AMALAN BERBUDI BAHASA



Anak itik matinya lemas,
Makan lenggudi di Bukit Askin,
  Hilanglah bahasa kerana emas,
  Tak tampak budi kerana miskin.

Saya tidak menanam nenas,
Tanam kepaya di dalam padi,
Saya tidak memandang emas,
Budi bahasa yang saya cari.

Perigi dikatakan telaga,
Tempat budak berulang mandi,
  Emas merah ada berharga,
  Budi Bahasa bernilai abadi.

Pucuk nipah kelibatan,
 Terletak mari di tepi pantai,
  Biarlah rosak dalam lipatan
 Jangan rosak kena pakai.

Perabu lancang dari Petani,
Naik ke darat membeli kain,
Buah macang serupa kuini,
Rupanya sama rasanya lain.

Petikan pantun diatas jelas menunjukkan kepentingan berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat. Marcapada ini, masalah gejala sosial dalam kalangan remaja semakin hebat diperkatakan di media massa seperti televisyen dan akhbar. Hal ini jelas menggambarkan amalan berbudi bahasa dalam masyarakat kita semakin luntur. Walaupun kerajaan telah melancarkan pelbagai program dan kempen kesedaran seperti Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni yang dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada 11 Januari 2005 yang lalu ,namun perkara ini dilihat masih gagal untuk membina budi bahasa dan jati diri masyarakat yang kian terhakis dalam arus pascamodenisasi. Persoalannya siapakah yang bertanggungjawab dalam memupuk amalan berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat khususnya golongan belia?Ibu bapa merupakan dua individu yang memainkan peranan penting dalam mempelopori sikap berbudi bahasa yang di uar-uarkan oleh kerajaan. Ia amat perlu dipraktikkan seumur bayi di dalam buaian. Bagi memastikan keadaan ini berkekalan, ibu bapa hendaklah sentiasa memantau perkembangan anak-anak disamping menerapkan nilai-nilai murni sebagai asas tunggak budaya kita. Sebagai misalan, ibu bapa boleh menceritakan kepada anak-anak mereka tentang kehebatan perjuangan tokoh- tokoh Islam di masa lalu yang taat dalam melaksanakan ajaran agama dan budaya mereka yang memberi faedah serta berjiwa terbuka terhadap kritikan supaya menjadi perangsang kepada mereka untuk dicontohi. Seterusnya para ibu hendaklah sentiasa peka dan mengawasi anak-anak daripada membaca buku, majalah-majalah atau menonton filem-filem yang kurang sihat kerana ini boleh mempengaruhi jiwa dan mengakibatkan gejala yang tidak baik terhadap perkembangan peribadi anak-anak.Kehidupan di bandar banyak mempengaruhi jiwa anak-anak terutama remaja yang sedang membesar. Semua aspek perlu diketahui dan diambil kira untuk dijadikan sebagai kayu ukur dalam mengharungi kehidupan yang mencabar ini. Oleh itu, dengan berbekalkan budi bahasalah maka remaja masa kini dapat melangkah setapak ke hadapan dengan penuh keyakinan. Budi bahasa yang dipamerkan dengan baik dapat membantu remaja memperolehi sesuatu dengan jayanya. Disamping itu, remaja akan disanjung tinggi kerana budi pekertinya itu dan akan disegani oleh segala lapisan masyarakat. Bertitik tolak dari rumah hingga ke menara gading amalan berbudi bahasa membawa berkat dan dapat membina kerjaya yang cemerlang. Sebagai contoh, fenomena yang melanda negara sekarang adalah fenomena hedonisme yang sangat menarik perhatian remaja. Hal ini berkaitan dengan seorang artis muda yang mempunyai aura yang luar biasa iaitu Asmawi bin Ani. Jika dilihat pengaruhnya adalah sesuatu yang menakjubkan. Beliau bukan sahaja diminati oleh para gadis dan peringkat dewasa malahan kanak-kanak juga turut meminatinya sehinggalah ke peringkat menteri. Mengapa hal ini boleh terjadi? Kita kupas semula kehidupannya. Beliau seorang yang cukup sederhana dalam segala hal tetapi akibat didikan yang sempurna dan penuh dengan budi bahasa yang tinggi serta berbekalkan ilmu agama yang cukup membolehkan beliau menjalani hidup dengan lebih matang lagi. Beliau disanjungi dan disayangi kerana baik budi pekertinya sehingga dapat memenangi hati banyak pihak yang telah lama dahagakan sifat sebegitu yang sepatutnya ada pada setiap masyarakat. Kepentingan amalan budi bahasa perlu disemai sejak kecil lagi kerana kanak-kanak lebih mudah dididik kerana kanak-kanak baru mula mengenal dunia dan masih hijau dalam menilai kehidupan. Pepatah ada mengatakan, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Maka mendidik anak itu biarlah dari kecil supaya tidak menyesal dikemudian hari dan menghindari dari segala gejala buruk serta musibah yang tidak diketahui wujudnya. Seperti kata pepatah melayu ’malang tidak berbau’.
Sesungguhnya, kehidupan akan lebih bermakna dengan memiliki pekerti yang baik, seperti kata bidalan, ‘benih kalau baik walau tercampak ke lautan pasti akan menjadi pulau’. Didiklah anak-anak dengan budi bahasa yang baik supaya menjadi ikutan dan pahatkan di hati mereka nilai-nilai ketimuran supaya kelak mereka mampu menggalas tanggungjawab membina kemajuan negara seterusnya menjadi perintis kepada wawasan 2020.



45 Nilai-nilai Murni Untuk Amalan Rakyat Malaysia
Kepercayaan kepada Tuhan
Kesetiaan kepada Negara dan Pemerintah
Keikhlasan diri
Hormat menghormati
Kasih sayang
Semangat kemasyarakatan
Berpengetahuan
Kebersihan Fizikal dan Mental
Bersih
Semangat kejiranan
Semangat kerjasama
Kesederhanaan
Kesyukuran dan Keredhaan
Berdaya saing
Menghargai masa
Semangat hidup
Bermasyarakat
Menghulur dan Menerima Kemaafan
Disiplin diri
Bertanggungjawab
Amanah
Adil
Tolong menolong
Prihatin
Sabar
Bertimbang rasa
Toleransi
Bersimpati
Merendah diri
Bersungguh-sungguh
Menghormati hak setiap individu
Menyayangi Diri, Keluarga, Jiran dan Masyarakat
Suci hati
Berfikiran positif
Amalan baik
Sedia Berkorban untuk kebaikan bersama
Berkongsi untung nasib
Benar
Berani
Berterus terang
Bercita-cita tinggi
Ikhlas
Berlemah lembut
Berpada
Yakin diri

No comments:

Post a Comment