Pembuangan bayi biasanya melibatkan golongan remaja yang bertindak terburu-buru ketika mengambil tindakan. Kemelut yang semakin serius ini bagaikan bangkai gajah yang tidak dapat ditutupi dengan nyiru lagi apabila akhbar-akhbar perdana negara sering memaparkan kejadian ini dalam akhbar mereka dengan begitu meluas tanpa segan-silu. Hal ini bukan sahaja menyusahkan pelbagai pihak malah imej negara kita akan tercalar. Jadi, sebelum mencari jalan penyelesaiannya, kita perlulah mengenal pasti sebab musabab yang menjadi akar umbinya sebelum kemelut ini menjadi barah kerana kalau tiada angin masakan pokok bergoyang.
Kemelut ini berlaku lantaran kurangnya didikan agama dalam
kalangan remaja kita. Kekurangan ini mungkin akibat kekurangan didikan dan
perhatian ibu bapa serta impak kemodenan yang melanda negara kita. Remaja kita
tidak mempunyai pegangan agama yang tebal dan mudah dipengaruhi oleh desakan
seksual mereka itu. Tanpa didikan agama yang teguh, mereka tidak dapat
membezakan sesuatu perbuatan mereka itu betul atau salah dan tidak dapat
membezakan antara hak dengan batil. Hal ini dapat dilihat apabila remaja
perempuan mudah terlibat dalam kancah perzinaan sedangkan berzina itu haram di
sisi agama. Kesannya, banyak anak luar nikah yang lahir dan akhirnya bayi yang
tidak berdosa itu dibuang demi menutup malu perbuatan remaja yang goyah
imannya. Jadi, didikan agama yang kurang mantap menyebabkan masalah ini kian
meruncinng.
Selain itu, isu ini turut berleluasa
kerana institusi kekeluargaan itu
sendiri sudah runtuh. Sudah menjadi kebiasaan kini sesebuah
keluarga itu tidak mempunyai ayah atau ibu untuk mendidik. Ketiadaan ini
menyebabkan tanggungjawab mendidik anak tidak menjadi satu keperluan yang harus
dipenuhi dengan baik. Menurut kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat bahawa 50
peratus masalah sosial remaja berpunca daripada keluarga yang porak peranda.
Ibu atau bapa yang tunggal sering sibuk mencari tuntutan nafkah untuk menyara
kehidupan keluarganya. Lantaran itu, mereka telah mengabaikan tanggungjawab
hakiki mereka dalam mendidik dan memantau setiap perlakuan anak mereka.
Pengabaian ini akhirnya mengundang padah apabila anak mereka terlibat dalam
perbuatan yang sumbang. Sesungguhnya, keadaan inilah yang menyebabkan masalah
pembuangan bayi menjadi-jadi.
Sikap masyarakat
yang terlalu suka menghukum turut menjadi penyebab pembuangan bayi
ini berlaku. Kita suka menganggap bahawa wanita yang mengandung tanpa suami ini
sebagai melakukan kesalahan tanpa menimbang keadaan yang menjurus kemelut itu
berlaku. Mungkin ada antara mereka yang mengandung disebabkan tindakan manusia
yang durjana sehingga sanggup merogol gadis yang tidak berdosa. Dalam hal ini,
wajarkah remaja itu dipersalahkan oleh perbuatan manusia yang tidak berhati
perut itu? Sememangnya kita harus bersimpati terhadap mereka tetapi keadaan
menjadi lebih rumit apabila terdapat segelintir daripada ahli masyarakat kita
yang lebih suka menunding jari kepada sesetengah remaja tanpa meneliti punca
yang menjadi permasalahan ini. Malangnya, masih terdapat pemikiran masyarakat
yang kolot lalu menyebabkan remaja tidak mempunyai tempat untuk mengadu masalah
mereka sehingga sanggup membiarkan anak mereka berada di tempat yang tidak
sepatutnya daripada dipandang jijik oleh masyarakat. Tegasnya, sikap masyarakat
seumpama ini merupakan pemangkin gejala ini.
Arus kemodenan
terutama melalui media massa telah menyemarakkan masalah ini.
Program dari Barat yang mengaitkan kebebasan dalam pergaulan telah menyebabkan
remaja mudah terpengaruh. Kehidupan moden sering dikaitkan dengan hubungan
seksual yang bebas. Remaja yang baru
berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang sering dikuasai
oleh perasaan ingin mencuba pasti akan meniru aksi-aksi atau adegan-adegan
panas yang terdapat dalam filem Barat bagi memuaskan nafsu mereka. Mereka tidak
lagi berasa takut ketika melakukan perkara yang terkutuk itu asalkan nafsu
berahi mereka dapat dipenuhi. Lantaran itu, masalah ini terus menerus menjadi
sesuatu yang lumrah dan menjadi darah
daging dalam hidup mereka. Sebagai akibatnya, lahirlah anak luar
nikah dan masalah pembuangan bayi semakin sukar dikawal lantaran ingin menutup
rasa aib atas perbuatan ibu bapa yang masih remaja itu.
Sebelum kudis
menjadi tokak, kemelut remaja ini haruslah diatasi segera. Kita tidak
seharusnya mendopang dagu tetapi pelbagai pendekatan yang proaktif perlulah
diambil demi menangani masalah ini kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Satu daripada langkah
yang perlu dilaksanakan ialah semua
lapisan masyarakat hendaklah diberi pendidikan keibubapaan melalui
pelbagai program. Pendidikan ini bertujuan memberikan buah fikiran mengenai
perkahwinan yang sah kepada rakyat. Melalui cara ini, orang ramai akan menjadi
lebih berhati-hati supaya tidak melakukan perbuatan sumbang. Perkara ini harus
ditekankan kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya para remaja. Sebagai
contohnya, program pendidikan keibubapaan perlu diadakan untuk mendidik remaja
tentang perkara yang perlu diamalkan dalam kehidupan berkeluarga. Tegasnya,
orang ramai perlu diberi kesedaran tentang kesan buruk aktiviti pembuangan
bayi.
Selain itu, pihak berkenaan hendaklah mengadakan ceramah atau kempenpada
peringkat sekolah mahupun peringkat taman-taman perumahan. Melalui program
tersebut, masyarakat dapat diberi kesedaran tentang keburukan pergaulan bebas.
Seperti yang kita ketahui, kes pembuangan bayi berpunca daripada pergaulan
bebas yang dianggap sebagai suatu perkara biasa bagi warga urban kini. Kita
seharusnya mengelakkan diri daripada unsur negatif tersebut supaya tidak
menjadi seperti sudah terhantuk baru nak tengadah. Sebagai contohnya, kempen
kesedaran ini perlu dilakukan secara besar-besaran melalui iklan, risalah dan
lain-lain. Kempen murni ini haruslah dilakukan secara berketiak ular dan bukannya hangat-hangat tahi ayam. Sesungguhnya,
usaha dinamik dan secara konsisten ini diperlukan untuk membimbing rakyat
supaya sentiasa berada di landasan yang betul dalam kehidupan.
Langkah yang seterusnya ialah pihak kebajikan masyarakat perlu menyediakan
perkhidmatan kaunseling. Khidmat nasihat hendaklah diberikan kepada
mangsa rogol dan individu yang mengandung tanpa nikah. Hal ini disebabkan
mangsa mengalami ketidakstabilan emosi dan mungkin akan cuba mencederakan diri
sendiri. Sebagai contohnya, mangsa rogol sanggup membunuh diri kerana tidak
dapat menerima kenyataan sebenar. Penubuhan Rumah Sri Puteri oleh Jabatan
Kebajikan Masyarakat dapat memberikan perlindungan dan khidmat nasihat kepada mereka
yang telah terlanjur ini. Oleh hal yang demikian, pusat kaunseling perlu
diperbanyak di seluruh negara untuk membantu mangsa-mangsa tersebut daripada
terus melakukan perkara yang terkutuk.
Di samping itu, pesalah yang disabitkan
kesalahan berzina atau kes rogol perlu dikenakan hukuman yang berat. Perogol atau orang yang mencabul kehormatan
wanita merupakan manusia yang tidak berperikemanusiaan. Mereka perlu dijatuhi
hukuman yang berat sebagai peringatan kepada orang lain. Hal ini menyebabkan
wanita-wanita ini kehilangan harga diri dan terpaksa menanggung malu sepanjang
hayatnya. Perkara tersebut juga akan menconteng arang ke muka ahli keluarga mangsa. Oleh sebab
itu, undang-undang negara perlu dikuatkuasakan supaya perogol atau mereka yang
berzina berasa serik atau takut untuk melakukan perkara tersebut yang salah di
sisi agama. Sebagai contohnya, hukuman bagi kesalahan berzina dan merogol
adalah seperti penjara dan hukuman sebat. Hal ini dapat mengurangkan jenayah
pembuangan bayi yang tidak berdosa itu di negara kita.
Seterusnya, pendidikan agama dan moral harus dititikberatkan oleh ibu
bapa untuk menyedarkan anak-anak tentang dosa dan balasan yang akan diterima.
Ibu bapa hendaklah menitikberatkan pendidikan agama dan moral kepada anak-anak
dan proses ini hendaklah diteruskan walaupun seseorang itu telah meningkat umur
dewasa. Pendidikan agama dan moral amatlah penting dan perlulah disemaikan
dalam sanubari rakyat. Albert
Einstein pernah berkata bahawa agama tanpa ilmu adalah buta dan ilmu tanpa agama
adalah lumpuh. Hal ini menunjukkan peri pentingnya didikan agama
dan moral dalam kehidupan kita supaya kehidupan tidak menjadi terumbang-ambing
seperti kapal tanpa nakhoda. Sebagai contohnya, anak-anak perlu diberi didikan
agama sejak kecil kerana melentur
buluh biarlah dari rebungnya dengan menyuruh anak-anak tidak
mengabaikan solat kerana bersolat itu dapat mencegah daripada melakukan
kemungkaran. Cara ini adalah efektif untuk mewujudkan masyarakat yang bebas
daripada kes pembuangan bayi.
Kesimpulannya, masalah pembuangan bayi ini
yang disebabkan oleh banyak faktor mempunyai pendekatan yang tersendiri untuk
diatasi jika dikaji secara telus. Pelbagai pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk
menyelesaikan dan mengurangkan kes pembuangan bayi yang berlaku di negara kita.
Masalah tersebut akan menular dan menjadi duri dalam daging jika tidak ditangani segera ketika negara
sedang berusaha untuk mencapai wawasan 2020. Kerjasama daripada semua pihak
adalah amat penting untuk membendung masalah ini kerana ke bukit sama-sama didaki, ke lurah sama-sama
dituruni.Melalui usaha ini, hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat
yang sihat dan terbilang dari segi lahiriah dan rohaniah dapat direalisasikan.
No comments:
Post a Comment