Friday, October 4, 2013

Masalah Sosial : Isu pembuangan Bayi







Pembuangan bayi biasanya melibatkan golongan remaja yang bertindak terburu-buru ketika mengambil tindakan. Kemelut yang semakin serius ini bagaikan bangkai gajah yang tidak dapat ditutupi dengan nyiru lagi apabila akhbar-akhbar perdana negara sering memaparkan kejadian ini dalam akhbar mereka dengan begitu meluas tanpa segan-silu. Hal ini bukan sahaja menyusahkan pelbagai pihak malah imej negara kita akan tercalar. Jadi, sebelum mencari jalan penyelesaiannya, kita perlulah mengenal pasti sebab musabab yang menjadi akar umbinya sebelum kemelut ini menjadi barah kerana kalau tiada angin masakan pokok bergoyang.


Kemelut ini berlaku lantaran kurangnya didikan agama dalam kalangan remaja kita. Kekurangan ini mungkin akibat kekurangan didikan dan perhatian ibu bapa serta impak kemodenan yang melanda negara kita. Remaja kita tidak mempunyai pegangan agama yang tebal dan mudah dipengaruhi oleh desakan seksual mereka itu. Tanpa didikan agama yang teguh, mereka tidak dapat membezakan sesuatu perbuatan mereka itu betul atau salah dan tidak dapat membezakan antara hak dengan batil. Hal ini dapat dilihat apabila remaja perempuan mudah terlibat dalam kancah perzinaan sedangkan berzina itu haram di sisi agama. Kesannya, banyak anak luar nikah yang lahir dan akhirnya bayi yang tidak berdosa itu dibuang demi menutup malu perbuatan remaja yang goyah imannya. Jadi, didikan agama yang kurang mantap menyebabkan masalah ini kian meruncinng.


Selain itu, isu ini turut berleluasa kerana institusi kekeluargaan itu sendiri sudah runtuh. Sudah menjadi kebiasaan kini sesebuah keluarga itu tidak mempunyai ayah atau ibu untuk mendidik. Ketiadaan ini menyebabkan tanggungjawab mendidik anak tidak menjadi satu keperluan yang harus dipenuhi dengan baik. Menurut kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat bahawa 50 peratus masalah sosial remaja berpunca daripada keluarga yang porak peranda. Ibu atau bapa yang tunggal sering sibuk mencari tuntutan nafkah untuk menyara kehidupan keluarganya. Lantaran itu, mereka telah mengabaikan tanggungjawab hakiki mereka dalam mendidik dan memantau setiap perlakuan anak mereka. Pengabaian ini akhirnya mengundang padah apabila anak mereka terlibat dalam perbuatan yang sumbang. Sesungguhnya, keadaan inilah yang menyebabkan masalah pembuangan bayi menjadi-jadi.

Sikap masyarakat yang terlalu suka menghukum turut menjadi penyebab pembuangan bayi ini berlaku. Kita suka menganggap bahawa wanita yang mengandung tanpa suami ini sebagai melakukan kesalahan tanpa menimbang keadaan yang menjurus kemelut itu berlaku. Mungkin ada antara mereka yang mengandung disebabkan tindakan manusia yang durjana sehingga sanggup merogol gadis yang tidak berdosa. Dalam hal ini, wajarkah remaja itu dipersalahkan oleh perbuatan manusia yang tidak berhati perut itu? Sememangnya kita harus bersimpati terhadap mereka tetapi keadaan menjadi lebih rumit apabila terdapat segelintir daripada ahli masyarakat kita yang lebih suka menunding jari kepada sesetengah remaja tanpa meneliti punca yang menjadi permasalahan ini. Malangnya, masih terdapat pemikiran masyarakat yang kolot lalu menyebabkan remaja tidak mempunyai tempat untuk mengadu masalah mereka sehingga sanggup membiarkan anak mereka berada di tempat yang tidak sepatutnya daripada dipandang jijik oleh masyarakat. Tegasnya, sikap masyarakat seumpama ini merupakan pemangkin gejala ini.

Arus kemodenan terutama melalui media massa telah menyemarakkan masalah ini. Program dari Barat yang mengaitkan kebebasan dalam pergaulan telah menyebabkan remaja mudah terpengaruh. Kehidupan moden sering dikaitkan dengan hubungan seksual yang bebas. Remaja yang baru berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang sering dikuasai oleh perasaan ingin mencuba pasti akan meniru aksi-aksi atau adegan-adegan panas yang terdapat dalam filem Barat bagi memuaskan nafsu mereka. Mereka tidak lagi berasa takut ketika melakukan perkara yang terkutuk itu asalkan nafsu berahi mereka dapat dipenuhi. Lantaran itu, masalah ini terus menerus menjadi sesuatu yang lumrah dan menjadi darah daging dalam hidup mereka. Sebagai akibatnya, lahirlah anak luar nikah dan masalah pembuangan bayi semakin sukar dikawal lantaran ingin menutup rasa aib atas perbuatan ibu bapa yang masih remaja itu.


Sebelum kudis menjadi tokak, kemelut remaja ini haruslah diatasi segera. Kita tidak seharusnya mendopang dagu tetapi pelbagai pendekatan yang proaktif perlulah diambil demi menangani masalah ini kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Satu daripada langkah yang perlu dilaksanakan ialah semua lapisan masyarakat hendaklah diberi pendidikan keibubapaan melalui pelbagai program. Pendidikan ini bertujuan memberikan buah fikiran mengenai perkahwinan yang sah kepada rakyat. Melalui cara ini, orang ramai akan menjadi lebih berhati-hati supaya tidak melakukan perbuatan sumbang. Perkara ini harus ditekankan kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya para remaja. Sebagai contohnya, program pendidikan keibubapaan perlu diadakan untuk mendidik remaja tentang perkara yang perlu diamalkan dalam kehidupan berkeluarga. Tegasnya, orang ramai perlu diberi kesedaran tentang kesan buruk aktiviti pembuangan bayi.


Selain itu, pihak berkenaan hendaklah mengadakan ceramah atau kempenpada peringkat sekolah mahupun peringkat taman-taman perumahan. Melalui program tersebut, masyarakat dapat diberi kesedaran tentang keburukan pergaulan bebas. Seperti yang kita ketahui, kes pembuangan bayi berpunca daripada pergaulan bebas yang dianggap sebagai suatu perkara biasa bagi warga urban kini. Kita seharusnya mengelakkan diri daripada unsur negatif tersebut supaya tidak menjadi seperti sudah terhantuk baru nak tengadah. Sebagai contohnya, kempen kesedaran ini perlu dilakukan secara besar-besaran melalui iklan, risalah dan lain-lain. Kempen murni ini haruslah dilakukan secara berketiak ular dan bukannya hangat-hangat tahi ayam. Sesungguhnya, usaha dinamik dan secara konsisten ini diperlukan untuk membimbing rakyat supaya sentiasa berada di landasan yang betul dalam kehidupan.


Langkah yang seterusnya ialah pihak kebajikan masyarakat perlu menyediakan perkhidmatan kaunseling. Khidmat nasihat hendaklah diberikan kepada mangsa rogol dan individu yang mengandung tanpa nikah. Hal ini disebabkan mangsa mengalami ketidakstabilan emosi dan mungkin akan cuba mencederakan diri sendiri. Sebagai contohnya, mangsa rogol sanggup membunuh diri kerana tidak dapat menerima kenyataan sebenar. Penubuhan Rumah Sri Puteri oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat memberikan perlindungan dan khidmat nasihat kepada mereka yang telah terlanjur ini. Oleh hal yang demikian, pusat kaunseling perlu diperbanyak di seluruh negara untuk membantu mangsa-mangsa tersebut daripada terus melakukan perkara yang terkutuk.


Di samping itu, pesalah yang disabitkan kesalahan berzina atau kes rogol perlu dikenakan hukuman yang berat. Perogol atau orang yang mencabul kehormatan wanita merupakan manusia yang tidak berperikemanusiaan. Mereka perlu dijatuhi hukuman yang berat sebagai peringatan kepada orang lain. Hal ini menyebabkan wanita-wanita ini kehilangan harga diri dan terpaksa menanggung malu sepanjang hayatnya. Perkara tersebut juga akan menconteng arang ke muka ahli keluarga mangsa. Oleh sebab itu, undang-undang negara perlu dikuatkuasakan supaya perogol atau mereka yang berzina berasa serik atau takut untuk melakukan perkara tersebut yang salah di sisi agama. Sebagai contohnya, hukuman bagi kesalahan berzina dan merogol adalah seperti penjara dan hukuman sebat. Hal ini dapat mengurangkan jenayah pembuangan bayi yang tidak berdosa itu di negara kita.

Seterusnya, pendidikan agama dan moral harus dititikberatkan oleh ibu bapa untuk menyedarkan anak-anak tentang dosa dan balasan yang akan diterima. Ibu bapa hendaklah menitikberatkan pendidikan agama dan moral kepada anak-anak dan proses ini hendaklah diteruskan walaupun seseorang itu telah meningkat umur dewasa. Pendidikan agama dan moral amatlah penting dan perlulah disemaikan dalam sanubari rakyat. Albert Einstein pernah berkata bahawa agama tanpa ilmu adalah buta dan ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Hal ini menunjukkan peri pentingnya didikan agama dan moral dalam kehidupan kita supaya kehidupan tidak menjadi terumbang-ambing seperti kapal tanpa nakhoda. Sebagai contohnya, anak-anak perlu diberi didikan agama sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya dengan menyuruh anak-anak tidak mengabaikan solat kerana bersolat itu dapat mencegah daripada melakukan kemungkaran. Cara ini adalah efektif untuk mewujudkan masyarakat yang bebas daripada kes pembuangan bayi.


Kesimpulannya, masalah pembuangan bayi ini yang disebabkan oleh banyak faktor mempunyai pendekatan yang tersendiri untuk diatasi jika dikaji secara telus. Pelbagai pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menyelesaikan dan mengurangkan kes pembuangan bayi yang berlaku di negara kita. Masalah tersebut akan menular dan menjadi duri dalam daging jika tidak ditangani segera ketika negara sedang berusaha untuk mencapai wawasan 2020. Kerjasama daripada semua pihak adalah amat penting untuk membendung masalah ini kerana ke bukit sama-sama didaki, ke lurah sama-sama dituruni.Melalui usaha ini, hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan terbilang dari segi lahiriah dan rohaniah dapat direalisasikan.



Pantun ....

Santunkah kita
Apabila berbicara mendabik dada
Apabila bercakap bohong belaka
Apabila diberi secebis kuasa tersalah guna
Apabila mengajar kepalang ajar
Apabila berjanji dimungkiri
Ada akal tidak berfikir
Ada Ilmu tanpa amal

Santunkah kita
Kita mencintai yang dicipta melupai Pencipta
Kita mencintai kehidupan melupai kematian
Kita mencintai kekayaan melupai perhitungan.



Maklumat Tambahan


  • Nilai dan Kesantunan dalam Masyarakat Melayu Nilai merujuk kepada sesuatu yang kompleks tetapi berpola dan berprinsip yang memberikan arahan dan menjadi petunjuk kepada perlakuan dan pemiikiran manusia dalam mengatasi masalah (Kluckhon dan Strodtbeck (1961). 
  • Nilai menjadi ukuran dan pegangan tentang baik buruk atau cantik hodoh sesuatu perlakuan berasaskan kelaziman atau kebiasaan dalam sesuatu masyarakat (Wan Abdul Kadir, 2000). Misalnya, kita berasa janggal apabila mendengar suami isteri mengungkapkan kata panggilan “aku” dan “kamu” dalam perbualan mereka.Perlakuan yang demikian dianggap tidak santun. Jadi, nilai dan kesantunan mempunyai pertalian yang sangat erat. Seseorang itu dianggap tidak sopan dan tidak mengamalkan nilai yang baik apabila bercakap menggunakan bahasa yang kasar atau tidak tahu meletakkan dirinya dalam sesuatu majlis. 
  • Ketidaksopanan dan kerendahan nilai perlakuan dapat digambarkan dalam ungkapan berikut.
    • Ketika orang diam 
    • Aku bersorak 
    • Ketika orang duduk aku berdiri 
    • Ketika orang memberi 
    • Aku meminta Ketika orang bekerja.
    • Aku terlena Ketika orang dipuncak
  • Selain itu, nilai berbahasa juga dititkberatkan oleh orang Melayu. Maka wujudlah bentuk bahasa yang dikelaskan sebagai bahasa halus, bahasa kesat, bahasa kasar, bahasa biadab dan seumpamanya. 
  • Oleh itu, seseorang itu perlu memahami dengan siapa ia berkata, sebab ia berkata, dan dalam situasi apa dia berkata. 
  • Sesunguhnya, orang yang santun ialah orang yang tahu meletakkan dirinya dalam keadaan tertentu. 4 Kesantunan Bahasa dalam Pengajaran dan Pembelajaran Komsas Insan yang seimbang daripada segi intelek, emosi, rohani dan jasmani seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dipercayai akan dapat dilahirkan melalui pendidikan bahasa dan kesusasteraan.
  •  Menyedari hakikiat ini, maka Kementerian Pelajaran Malaysia (Kementerian Pendidikan Malaysia pada waktu itu) mewajibkan semua pelajar sekolah menengah mempelajari kesusasteraan yang diserapkan melalui mata pelajaran Bahasa Melayu dengan nama Komponen Sastera dalam Bahasa Melayu (Komsas). Pembelajaran Komsas bermula pada tahun 2000 untuk pelajar tingkatan 1 dan 4, manakala pada tahun 2001 semua pelajar sekolah menengah daripada tingkatan 1 hingga tingkatan 5 diajarkan Komsas. 
  •  Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Menengah (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2002), menyatakan objektifnya dengan jelas. Antara objektifnya adalah untuk melahirkan pelajar yang dapat: melibatkan diri dalam interaksi sosial melaui perbualan, perbincangan, dan penulisan untuk menjalin serta mengeratkan hubungan, dan berurus untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan; · menghayati dan mengamalkan nilai murni, sikap positif, semangat patriotik, dan perasaan cinta akan negara. 
  •  Keupayaan pelajar berinteraksi dengan baik sama ada secara lisan atau bertulis memperlihatkan aspek kesantunan berbahasa mereka. Pelajar harus faham dan sedar akan kedudukan diri mereka apabila berkomunikasi dengan pihak lain. Mereka juga perlu sedar akan tujuan, masa, tempat, dan dengan siapa mereka berkomunikasi.
  • Hal ini akan terjelma melalui aktiviti-aktiviti kebahasaan seperti yang digariskan dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Menengah. Sebagai contoh, beberapa kemahiran berbahasa dalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan Satu menyarankan aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada kesantunan berbahasa. 
    • Antaranya termasuklah: 1.1 Aras 1 (i) : Berbual dengan keluarga menggunakan sebutan, intonasi, kata dan ungkapan yang sesuai dan mengemukakan idea yang relevan dengan topik.
    •  1.1 Aras 1(ii): Memperkenalkan diri kepada seseorang dan memperkenalkan seseorang kepada ahli yang lain dengan mesra dan santun. 
    • 1.1 Aras 1(iii): Memahami dan menentukan gelaran atau panggilan yang sesuai bagi seseorang. Untuk merealisasikan pencapaian objektif ini, pemilihan bahan pengajaran adalah penting. 
  • Guru harus bijak memanipulasikan bahan pengajaran yang ada, khususnya teks Komsas. Dalam teks Komsas banyak terdapat unsur nilai dan kesantunan berbahasa. Jadi pengajaran dan pembelajaran Komsas harus bersepadu dengan pengajaran kemahiran bahasa yang lain seperti mendengar dan bertutur, memabaca dan memahami, dan menulis. 
  •  Sebagai contoh, marilah kita sama-sama meneliti petikan yang berikut ini: 
    •  “Belajarlah nak bersungguh-sungguh. Kita tidak ada harta. Pelajaranlah harta buatmu, nak.” Begitu kata-kata ibunya membujuk dia ke sekolah. “Kau dah pulang Ramli? Bukalah kasut itu. Letakkan baik-baik di tempat letak kasut. Eh, masih bersih kasut kau tu! Anak yang baik macam tulah,” kata ibunya di muka pintu. Ramli melihat susuk tubuh ibunya penuh penderitaan, akan tetapi wajahnya amat manis, dengan senyuman terukir di bibirnya.Betapa ibunya berusaha benar menyembunyikan penderitaan itu disebalik senyumannya. Dia tahu bahawa ibunya bertanggugjawab terhadap dirinya dan adik-adiknya juga. Dia meletakkan kasutnya dengan baik di atas tempat letak kasut yang diperbuat daripada tong. Tempat itu dibuat oleh ibunya sendiri. Kasut adik-adik dan ibunya teratur rapi. Ternyata ibunya amat mementingkan kebersihan dan kesempurnaan. “Emak! Esok Hari Guru di sekolah Ramli. Ramli ingin hadiahkan sesuatu kepada Cikgu Fatimah. Dia baik kat Ramli.” Ibunya mengangguk-angguk. Akan tetapi tergambar kemuraman di wajahnya. Nasi yang disuapnya dikunyah perlahan-lahan. Dia tahu ibunya sedang memikirkan harapannya itu. Dia menoleh ke arah adik-adiknya yang sedang makan dengan penuh selera. Rizal, adiknya yang tengah, berulang-ulang kali mengangkat pinggan nasinya untuk melihat kiranya ada nasi yang bertaburan di atas lantai. “Rizal nak nasi lagi?” tanya Ramli. “Tak nak, bang. Ijai dah kenyang,” jawab adiknya membahasakan Ijai sebagai nama timang-timangan. (Dipetik dan disesuaikan daripada Sehijau Warna Daun, hlm 52-54) 
  •  Berdasarkan petikan di atas, kita dapat meneliti kesantunan dalam dua bentuk perlakuan, iaitu perlakuan bahasa dan bukan perlakuan bahasa. 
  •  (a) Perlakuan bahasa 
    •  (i) Memberikan kata nasihat dalam bentuk pujukan “Belajarlah nak bersungguh-sungguh. Kita tidak ada harta. Pelajaranlah harta buatmu, nak.” 
    • (ii) Kata-kata pujian “…Eh, masih bersih kasut kau tu! Anak yang baik macam tulah,” 
    • (iii) Kata panggilan yang sesuai “Rizal nak nasi lagi?” tanya Ramli. “Tak nak, bang. Ijai dah kenyang,” jawab adiknya membahasakan Ijai sebagai nama timang-timangan. 
  •  (b) Bukan perlakuan bahasa 
    •  (i) Empati Ramli melihat susuk tubuh ibunya penuh penderitaan. 
    • (ii) Air muka/ raut wajah …wajahnya amat manis, dengan senyuman terukir di bibirnya. Betapa ibunya berusaha benar menyembunyikan penderitaan itu di sebalik senyumannya. 
    • (iii) Menujukkan sikap bertanggungjawab Rizal, adiknya yang tengah, berulang-ulang kali mengangkat pinggan nasinya untuk melihat kiranya ada nasi yang bertaburan di atas lantai. 
  • Berdasarkan contoh petikan di atas, guru wajar memberikan penekanan kepada aspek kesantunan dengan menonjolkan aspek-aspek kesantunan yang terdapat dalam petikan. Hal ini perlu diterapkan secara menarik dan berkesan, dan bukan “dipaksakan”. Untuk mencapai matlamat ini, guru perlu mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran supaya pelajar belajar kesantunan bukan dengan kata-kata, tetapi dengan rasa.

Tutorial 6

Kuliah 10

Strategi Kesantunan Lisan

-Masyarakat Melayu menganggap amat memberatkan perlakuan yang menjaga air muka atau maruah pendengar.

-Oleh itu , mereka akan cuba mengelak daripada berhadapan dengan konflik semasa berinteriaksi secara lisan.

-Justeru , orang Melayu menggunakan pelagai strategi semasa berinteraksi.

-Strategi kesantunan yang digunakan :

· Strategi ikhlas

· Strategi merendah diri

· Strategi maaf

· Strategi penyelesaian

· Strategi memberi peluang

· Strategi penghargaan dan pujian

· Strategi berterima kasih

· Strategi kiasan

· Strategi berhemah dan lemah-lembut

· Strategi bersalam dan memperkenalkan diri

· Strategi kecindan

· Strategi menyapa/ menegur

· Strategi ungkapan Rabani

~ Strategi ikhlas : Menegur secara tidak langsung sesuatu perbuatan yang tidak disukai.

~Strategi merendah diri : Menggunakan ungkapan-ugkapan membawa maksud penutur merendah diri dengan mengaku kelemahan dan kekurangan diri.

~Strategi maaf : Meminta dengan baik untuk bercakap atau berbuat sesuatu.

~Strategi penyelesaian: Mengambil keputusan memudahkan sesuatu urusan supaya penyelesaian cepat dicapai tanpa mendapat banyak bangkangan.

~Strategi memberi peluang : Memberi peluang kepada yang lebih berumur atau berjawatan dalam masyarakat untuk bersuara.

~ Strategi penghargaan dan pujian : Urusan yang menunjukkan seseorang itu dihargai kerana sesuatu tindakan yang disenangi.

~Strategi berterima kasih : Penghargaan secara ucapan terima kasih terhadap seseorang yang telah membuat sesuatu kebaiankan atau pertolongan.

~Strategi kiasan : Ujaran yang diucapkan secara tidak langsung untuk menjaga air muka seseorang.

~Strategi berhemah dan lemah-lembut : Menggunakan ujuran yang halus dan tidak kasar untuk membuat teguran atau nesihat supaya pendengar tidak berkecil hati.

~Strategi kecindan : Menggunakan ujuran dalam bentuk jenaka untuk menimbulkan perasaan gembira.

~Strategi menyapa/menegur : Ujaran yang dibuat apabila bertemu dengan seseorang untuk menunjukkan keramahan walaupun telah mengetahui apa yang dibuat oleh seseorang.

~Strategi ungkapan Rabani : Menggunakan ujaran seperti Bismillah , Alhamdulillah , doa untuk menunjukkan kekuasaan Allah.

Kuliah 9

BAHASA TUBUH
Bahasa tubuh ialah bahasa komunikasi bukan lisan yang melibatkan isyarat tangan, air muka, dan gerakan badan.  Bahasa ini sangat penting kerana dapat menyampaikan mesej yang sukar dilahirkan melalui pertuturan atau tulisan.  Komunikasi melalui bahasa tubuh ini mampu menggambarkan emosi, personaliti, tujuan dan status sosial seseorang individu.  Selain itu, komunikasi lisan yang disepadukan dengan bahasa tubuh akan lebih berkesan kerana dapat menterjemahkan maksud yang hendak disampaikan dengan jelas.
Dengan membaca bahasa tubuhnya, kita dapat mengetahui sama ada apa yang diperkatakan diterima dengan positif atau negatif, sama ada dia bercakap terbuka atau defensif, bosan atau berpura-pura minat.
Dengan membaca bahasa tubuh kita dapat mengetahui….
ü  Bila kita mesti mengubah sikap dan menukar bahan percakapan
ü  Bila patut berhenti
ü  Bila kita perlu membuat sesuatu yang lain sama sekali
Jika gagal membaca bahasa tubuh orang yang dilawan bercakap, kita akan gagal menyakinkan mereka.
i.        Gerakan Anggota Badan
Gerakan anggota badan yang berlaku dalam komunikasi tanpa lisan  mempunyai makna tertentu.  Oleh itu, penggerak anggota dapat menyampaikan mesej dalam komunikasi yang dihasilkan.  Biasanya pergerakan anggota badan membawa makna sejagat yang difahami  oleh semua orang seperti;
•     Isyarat gerakan tangan
•     Isyarat air muka
•     Bahasa tubuh
Komunikasi tanpa lisan boleh menyampaikan sesuatu utusan yang sukar untuk dilahirkan melalui perutusan atau tulisan. Isyarat tanpa lisan menggambarkan emosi, personaliti, tujuan dan status sosial seseorang dan boleh digunakan untuk;
•     mengukuhkan hujah/ mesej yang disampaikan
•     mendapatkan maklum balas dengan membaca maksud yang tersirat melalui isyarat tanpa  lisan yang ditunjukkan oleh penerima mesej.
ii.       Gerakan Mata
Gerakan mata mempunyai makna tertentu dalam komunikasi tanpa lisan.  Contohnya:
•     Mata yang bergerak ke sana ke mari menunjukkan tidak berminat
•     Mata dan dahi berkerut, menunjukkan minat tetapi tidak percaya
•     Mata berkelip lebih laju daripada biasa menunjukkan dia berdusta
•     Tidak memandang mata menunjukkan berminat tetapi malu/ tidak tenteram perasaannya.
iii.      Gerakan Tangan
Gerakan tangan mempunyai maksud sejagat yang difahami oleh kebanyakan orang tanpa mengira latar belakang belakang kebudayaan.  Gerakan tangan yang digunakan bersama-sama bahasa lisan dapat mengukuhkan keberkesanan komunikasi yang berlaku.  Contohnya:
ü  Isyarat gerakan tangan yang digunakan secara tersendiri untuk menyampaikan maksudnya.
ü  Maksud yang disampaikan boleh berbeza kerana dipengaruhi oleh budaya.
ü  Terdapat juga maksud sejagat seperti meletakkan jari telunjuk di depan mulut yang bermakna diam/ tolong senyap.
ü  Isyarat gerakan tangan digunakan bersama-sama ucapan lisan dan tujuannya adalah untuk membantu atau mengukuhkan ucapan lisan seseorang.
ü  Secara sedar atau tidak, setiap kali seseorang itu bercakap, ia akan menggunakan tangan untuk menggambarkan sesuatu yang ingin disampaikannya itu.
    iv) Mimik Muka
Riak air muka mempunyai pelbagai maksud tersirat yang dapat diterjemahkan maknanya dalam komunikasi tanpa lisan. Air muka dapat menyatakan emosi, kehendak dan harapan seseorang. Riak air muka juga dapat menambat hati seseorang untuk bertindak balas terhadap seseorang. Contohnya:
o   Melalui pengamatan air muka orang yang berinteraksi dengan kita, kita akan mengetahui banyak maksudyang tersurat dan tersirat.
o   Merupakan suatu naluri yang berhubung rapat dengan faktor biologi dan fisiologi. Melaluinya dapat diketahui keperibadianseseorang
o   Ahli komunikasi yang baik dapar mengesan perasaan sebenar seseorang dengan mengamati air mukanya.

o   Riak air muka berperanan penting menentukan jalinan komunikasi yang dilalui, Untuk membentuk jalinan komunikasi yang mesra/ positif, tunjukkanlah air muka yang jernih.